Bomba selamat RM5 juta
Kangar: Kecekapan dan kepantasan anggota bomba berjaya menyelamatkan 40 buah bas serta lori dianggarkan bernilai RM5 juta di sebuah bengkel daripada musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Syed Saffi, di sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, kebakaran dipercayai berlaku pada jam 6.20 pagi itu menyebabkan enam buah lori, dua bas serta stor simpanan tayar dan rim kenderaan di bahagian belakang bengkel hangus, sekali gus mengakibatkan kerugian RM1 juta.
Pemilik bengkel Azmi Saad, 59, berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila menerima panggilan telefon daripada pekerjanya jam 7 pagi memaklumkan premis berkenaan terbakar lalu bergegas pulang untuk meninjau keadaan sebenar.
“Secara kebetulan saya berada di Bukit Merah, Perak ketika menerima panggilan seorang pekerja berusia 18 tahun yang tinggal di rumah berhampiran bengkel.“Pekerja terbabit mendengar beberapa letupan kecil dan terhidu bau hangit seperti getah tayar terbakar sebelum menghubungi pihak bomba dan memaklumkan kepada saya,” katanya.
Azmi yang juga bekas pengurus Persatuan Bola Sepak Perlis pada 2004 berkata, dua bas, enam lori dan sebuah stor yang menyimpan 500 unit tayar baru serta lama musnah dalam kebakaran itu menyebabkan dia rugi hampir RM1 juta.
Katanya, dia bagaimanapun bersyukur kerana 40 lori serta bas lain di dalam bengkel berusia 18 tahun itu tidak musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Fadzil Haroon ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.31 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pihak bomba mengesyaki kebakaran bermula daripada api belukar bersebelahan bengkel, namun siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan jumlah kerugian sebenar sedang dilakukan. Kata:Hmetro
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan