Ahya U
KUALA LUMPUR: Pelakon baru Ahya U risau penyertaannya di bidang lakonan akan mengundang kata-kata negatif kononnya dia ingin menumpang populariti ibunya yang merupakan seorang dramatis, Normah Damanhuri.
Ahya atau nama sebenarnya Ahya Ulumuddin Rosli berkata, seboleh-bolehnya dia ingin menceburi bidang lakonan dengan mengukir nama menerusi hasil lakonan yang dilakukan dan bukannya dibayangi oleh ibunya.
"Kalau boleh saya enggan dibayangi ibu, sebab itu saya gunakan nama Ahya U dan bukannya Ahya Damanhuri.
"Saya enggan menggunakan 'tiket' itu sebagai landasan untuk cepat popular kerana percaya, lama-lama kedudukan saya tidak akan bertahan.
Ahya enggan menumpang populariti ibunya, Normah Damanhuri.
"Biarlah populariti muncul seiring dengan asahan bakat lakonan yang ditonjolkan, tiada masalah untuk saya mulakan daripada bawah," katanya.
Tambah Ahya yang juga merupakan seorang model, sejak dahulu lagi dia seorang yang agak pemalu apabila disuruh berlakon di depan kamera, namun keyakinan diri itu muncul selepas berlakon dalam filem Tanda Putera, arahan Datin paduka Shuhaimi Baba.
"Walaupun biasa dengan dunia peragaan,lakonan ternyata satu bidang yang sangat berbeza. Saya jadi pemalu apabila disuruh berlakon di hadapan kamera.
"Entah kenapa, saya cabar diri menerusi Tanda Putera. Dengan bantuan ibu memebuat latihan di rumah, sedikit sebanyak saya asah perasaan malu itu.
"Dan lama-lama keyakinan diri itu datang sendiri. Bukan senang menjadi seorang pelakon, tetapi ia memberi satu kepuasan yang berbeza," ujarnya.
Ahya yang bernaung dibawah syarikat agensi model iaitu Andrews Model Management pernah menyertai pertandingan pencarian model antaranya Male Model Search 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan