SEJURUS reda
kontroversi kononnya berkahwin secara rahsia di Institut Penyelidikan
Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ternyata hanya gimik mengarut, bintang
jelita Akademi Fantasia 3 (AF3), Marsha Milan Londoh atau Marsha, 25,
mencetuskan kontroversi terbaru apabila dia tampil bergaya seksi
melampau menerusi muka depan sebuah majalah gaya hidup dan hiburan,
sekali gus beliau menerima kecaman hebat daripada orang ramai sehingga
menjadi perdebatan dalam laman sesawang atau blog hiburan.
Sekalipun
Marsha sudah acap kali dilabel gemar memberikan pose ‘berani mati’
sebelum ini, namun kemunculan beberapa foto panasnya menerusi majalah
berkenaan dianggap keterlaluan sehingga ada tuduhan menyamakan aksi
seksi pelakon dan penyanyi itu persis bintang pornografi!
Sekalipun
Marsha bukan beragama Islam dan tidak menjadi kesalahan kepadanya
memberikan aksi seumpama itu, namun kebanyakan peminatnya membabitkan
orang Melayu beragama Islam termasuk kanak-kanak, justeru kerelaannya
memberikan pose ghairah melampau seperti itu dianggap tidak menghormati
nilai budaya Timur dan kesopanan, selain mengenepikan faktor sensitiviti
yang selama ini harus dipelihara agar tidak menyinggung perasaan
mana-mana pihak.
Selain itu, ruangan pojok Gayah Gebu terbitan
Metro Ahad 24 Julai lalu turut memaparkan perihal seorang artis yang
muncul dengan pose panas menerusi majalah berkenaan. Mengambil judul
‘Gaya seksi bagai artis Hollywood’ mendakwa seorang artis wanita bintang
AF3 beraksi berani dengan beberapa adegan mengghairahkan di sebuah
majalah.
Antara lain artikel berkenaan mendedahkan artis wanita
bintang AF3 berpakaian mencolok mata tampil dengan beberapa pose panas
melampau di sebuah majalah. Gaya artis itu berposing mengalahkan bintang
dari Barat, sekali gus menyamakan aksi itu persis Maria Ozawa iaitu
bintang terkenal pornografi yang mencipta nama di Jepun dan Amerika
Syarikat!
Sekalipun artikel berkenaan tidak menyebut sebarang nama, ramai meneka tepat, artis wanita bintang AF3 itu ialah Marsha.
Rabu lalu, penulis berjaya menghubungi Marsha untuk memperoleh komen daripadanya.
“Saya
sudah membaca artikel berkenaan, saya mengaku, ia ditujukan kepada
saya. Sebenarnya saya malu apabila aksi saya dalam majalah berkenaan
disamakan dengan Maria Ozawa…,” kata Marsha pada awal perbualan tanpa
berselindung.
Jelasnya, ketika fotografi diadakan, dia
berpeluang melihat semua gambar yang dirakam dan baginya tak ada
apa-apapun yang melampau, biasa saja. Namun, apabila foto berkenaan
melalui proses ‘cropping’ dan disiarkan, Marsha mendakwa gambar
berkenaan kelihatan amat lucah!
“Ada lagi baju yang lebih seksi,
tapi hanya baju itu saja yang elok dan saya selesa mengenakannya.
Apabila saya lihat gambar itu di skrin komputer, gambar yang dirakam itu
diambil dari sudut long shot, tapi apabila foto berkenaan dicrop dan
dilihat secara close-up, saya terkejut apabila ia kelihatan begitu
lucah! Alamak, apa hal! Salah saya juga apabila tidak bertanya terlebih
dulu, gambar mana yang nak disiarkan.
“Kini, apabila majalah
berkenaan berada di pasaran, orang melihat gambar itu, saya menjadi
mangsa kritikan dan kutukan. Mereka mendakwa, aksi seksi itu
keterlaluan, sekali gus saya dikatakan tidak menjaga sensitiviti orang
Melayu-Islam yang rata-ratanya adalah peminat saya.
“Disebabkan
itu, dalam kesempatan ini, saya memohon maaf secara terbuka kepada semua
pihak yang tersinggung apabila melihat pose yang dianggap keterlaluan
itu.
“Saya sedar, apabila menjadi artis, sekalipun kita tidak
melakukan apa-apa kesalahan, ada saja pihak yang membenci, tapi apabila
berlakunya perkara seumpama ini, memberi lebih peluang kepada mereka
untuk lebih membenci kita. Saya tak mampu berbuat apa-apa lagi,
melainkan permohonan maaf yang saya harap boleh memberi ruang kepada
saya memperbaiki kesilapan,” katanya dalam nada kesal.
Katanya
lagi, sebagai manusia, dirinya sering melakukan kesilapan. Marsha
mengaku, dirinya tidak sempurna dan melakukan banyak perkara yang tidak
disenangi tanpa sedar.
Apabila berasakan dirinya bukan beragama
Islam, Marsha bebas berbuat apa saja apabila memikirkan perkara itu
tidak menjadi satu kesalahan baginya, justeru adakah kerana faktor itu,
dia tanpa berfikir panjang rela dan berani memberikan aksi ghairah
seumpama itu?
Jelasnya, dia tidak pernah berfikir ke arah itu
kerana apa saja pakaian yang digayakan perlu selesa, jadi asal saja
pakaian yang dikenakan tidak kelihatan dirinya bogel, dia tidak
keberatan menggayakannya.
“Sekalipun saya Kristian, tidak
bermakna saya sewenang-wenangnya boleh berbuat apa saja, tak pernah
terfikir begitupun. Lagipun, saya berkawan dengan ramai orang Islam.
Terus-terang, apabila menjayakan fotografi berkenaan, saya tak sangka
hasilnya boleh jadi seperti hari ini. Apa yang berlaku adalah di luar
kawalan saya.
“Bagi saya, semua agama, termasuk Islam mahupun
Kristian, mempunyai moraliti. Jadi, tidak bermakna, apabila saya
beragama Kristian, hanya terbayang perkara yang negatif semata-mata.
Semua agama mendidik supaya melakukan perkara yang baik. Tapi, apabila
pose saya berikan kepada majalah berkenaan dianggap keterlaluan, itu
yang sebenarnya mengundang ketidakselesaan kepada orang ramai,” katanya
penuh kesal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan