Tidak seperti kebiasaan wanita hamil
yang lain, aktres, Fasha Sandha akui dia kurang mengidam untuk makan
makanan tertentu. Sebaliknya, Jejai atau nama sebenar Rizal Ashram Ramli
yang lebih mengidam pelbagai makanan berbandingnya yang kini sedang
melalui trimester (tiga bulan pertama) kehamilan.
Namun begitu, Fasha Sandha memberitahu
dia kini sedang mengalami alahan yang sangat teruk, malah akan muntah
dengan banyak apabila menggunakan ubat gigi. Lebih-lebih lagi, bila dia
sangat alah dengan bau dan rasa ubat gigi.
“Saya tiada pula mengidam apa-apa tetapi
yang kelakarnya suami saya pula yang mengidam lebih. Dia mengidam
hendak makan macam-macam sejak saya hamil ini. Namun begitu, saya kini
mengalami morning sickness yang sangat teruk. Malah, sangat alah dengan
bau dan rasa ubat gigi. Jadi, setiap kali gosok gigi saya akan muntah.
“Namun, ia tidak bermakna saya tidak
menggosok gigi, cuma kena tahan sahajalah dengan baunya,” katanya
ditemui selepas sidang media drama bersiri Runtun Qalbu, di Sri Pentas
TV3, petang semalam.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya
yang pertama kali hamil, Fasha Sandha memberitahu dia kini sering cepat
penat dan mengantuk walaupun tidak melakukan apa-apa kerja berat.
“Sejak hamil , saya dah mula rasa mengah
dan penat walaupun hanya bergerak sedikit. Manakala, waktu tengah hari
pula saya akan mula rasa mengantuk dan hendak tidur sahaja bila di
rumah,” ulasnya yang masih merahsiakan usia sebenar kandungannya.
Meskipun hamil, Fasha berkata dia tetap
akan meneruskan kerjaya seninya serta sibuk dengan perniagaan salunnya,
Chinta yang terletak di Wangsa Maju.
“Saya rasa saya tidak boleh berehat lama
kerana saya memang seorang yang kuat kerja. Malah, ketika di awal
kehamilan saya ini, saya baru sahaja habis menjalani penggambaran Runtun
Qalbu.
“Saya terima tawaran drama terbitan
Ahmad Idham iaitu Excellent Pictures masa itu kerana saya sangat
tertarik dengan jalan cerita dan skripnya. Namun sekarang saya sedang
cuba berehat seketika daripada lakonan tetapi masih aktif ke salun untuk
menguruskannya serba sedikit yang perlu.
“Walau bagaimana pun, Insya Allah saya
akan kembali ke set untuk sebuah drama bersiri TV3 pada November ini .
Lagipun saya tidak boleh tinggalkan lama dunia lakonan kerana akan
rindukan set penggambaran,” luahnya lagi.
Fasha yang baru sahaja mendirikan rumah
tangga dengan Jejai pada 27 April lalu akan berangkat ke Guangzhou,
China bagi menemani suaminya untuk menyertai perlumbaan Lamborghini
Blancpain Super Trofeo Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan