WANITA genit dan lincah ini begitu istimewa di Malaysia. Biarpun
sudah menjangkau usia 34 tahun, namun Rossa mudah mencuri tumpuan dengan
gaya keanak-anakan dan sifat ramah-tamah yang tidak dibuat-buat.
Ternyata ada sesuatu yang istimewa di sini apabila dia bukan sahaja
menampilkan dua lagu ekstra menerusi album kompilasi, The Best Of Rossa
khas buat pasaran di sini, bahkan tidak menolak untuk menjadi suri hati
peminatnya di Malaysia.
Menerusi album yang baru dilancarkan di sini pada minggu lalu, Rossa
menampilkan himpunan lagu-lagu popularnya termasuklah Ayat-Ayat Cinta,
Pudar, Tegar, Atas Nama Cinta, Terlanjur Cinta dan Ku Menunggu.
Lebih istimewa apabila dia menampilkan tiga buah lagu baharu untuk
pasaran di negara asalnya, Indonesia iaitu Aku Bersahaja (duet Taufik
Batisah), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) dan Tak
Sanggup Lagi serta tambahan lagu Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet
Pasha Ungu) dan One Night Lover (duet Joe Flizzow) khas buat peminat
Malaysia sahaja.
Tidak sah kalau bertemu wanita ini jika tidak bercerita soal teman
hati. Dalam tempoh kebelakangan ini, nama seorang jejaka muda dari
Malaysia, Faris sering dikaitkan dengan dirinya. Namun si empunya diri
dengan tegas di samping nada gurauan menafikan dakwaan itu.
"Faris bukan pacar saya. Saya kenal dia pun ketika sambutan hari
lahir mamanya pada suatu ketika dahulu sahaja. Sejurus itu kami rapat
sebagai kawan.
"Memang saya dekat dengan dia dan sering makan bersama keluarganya,
tatapi saya kini tidak berpacaran dengan sesiapa," katanya ketika
ditemui di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Rossa yang merupakan ibu kepada Rizky Langit Ramadan, 6, menambah,
dia kini sedang didekati oleh beberapa orang lelaki, tetapi tiada
perancangan untuk mengikat kasih.
"Ada beberapa orang yang dekat dengan saya, tetapi untuk hubungan
yang serius masih belum ada rencana," ujar Rossa yang tidak menolak jika
jodohnya adalah orang Malaysia kerana pernah berpacaran dengan seorang
jejaka di sini pada suatu ketika dahulu.
Dia seolah-olah sudah kalis apabila ditebak dengan soalan klise
berkaitan hubungan rapatnya dengan mana-mana lelaki. Namun, empunya diri
bijak mengawal situasi agar tidak pantas melenting bahkan bijak
berdiplomasi menangkis segala dakwaan.
Tidak hanya dikaitkan dengan jejaka Malaysia, kini timbul juga cerita
mengenai hubungan istimewanya dengan seorang ahli perniagaan di
Indonesia. Namun, Rossa tetap bijak menafikan teka-teki itu tanpa
mengguris hati sesiapa.
Dalam berteka-teki soal hero di hatinya, nama penyanyi Anuar Zain
tetap melekap di hati janda kepada anggota kumpulan Padi, Yoyo itu.
Jelas Rossa dia mengidam untuk berduet dengan Anuar menerusi sebuah lagu
istimewa.
"Selepas berduet dengan Joe Flizzow, saya menanti waktu untuk berduet
pula dengan Anuar. Sudah lama sebenarnya teringin tetapi ada sahaja
halangannya.
"Saya memilihnya bukan kerana nama besar semata-mata tetapi melihat
potensi yang ada untuk lagu itu berjaya nanti. Untuk lagunya, pastinya
saya akan memilih naskhah masyarakat yang orang kebanyakan suka,"
katanya yang turut memasang impian untuk berduet dengan Datuk Sheila
Majid.
Dalam tempoh setahun diedarkan di Indonesia, kira-kira 1.5 juta unit
CD berjaya dijual sekali gus menjadikan album itu sebagai melodi yang
paling tinggi dalam pasaran semasa di Indonesia.
"Mujurlah strategi pemasaran di rangkaian restoran (makanan segera)
KFC ini berjaya. Saya selalu juga singgah di beberapa buah restoran
untuk bertemu peminat dan mendapat maklum balas daripada kakitangannya,"
kata Rossa yang berada di Kuala Lumpur selama empat hari.
Dalam perkembangan lain, Rossa dijadualkan berangkat ke tanah suci
Mekah pada 12 Oktober ini untuk menunaikan fardu haji setelah tiga kali
mengerjakan umrah.
Selain sibuk menguruskan 18 buah cawangan pusat karaoke, Diva Family
Karaoke di Indonesia yang dimilikinya, Rossa juga kini sedang
berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hartanah.
Sumber:kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan