Setahun Esma Daniel Simpan Nama Mahathir Daniel

KUALA LUMPUR, 7 SEPT 2012: Bilangan ahli keluarga bekas Hero Remaja yang kini sudah bergelar pengarah, Esma Daniel telah bertambah apabila isterinya Nitra Sari Omar telah selamat melahirkan cahaya mata kelima mereka pada jam 2.30pagi, tadi.

Berkesempatan menemui pelaku watak Tun Dr Mahathir dalam Teater Tun Hasmah ini, dia mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana dikurniakan cahaya mata pada malam Jumaat, yang merupakan penghulu segala hari.

"Alhamdulillah, pada jam 2.30pagi tadi, isteri saya telah selamat melahirkan Mahathir Daniel dengan seberat 3.3kilogram secara normal di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.

"Rasa seperti sebuah rahmat menerima cahaya mata pada malam Jumaat yang juga penghulu segala hari,"ujarnya yang nyata gembira dengan kelahiran putera barunya itu.

Namun, ada kisah di sebalik nama Mahathir Daniel yang menurut Esma telah disimpannya semenjak setahun yang lalu.

"Kalau ada yang mengenali saya, semenjak perkahwinan terdahulu hingga kini nama anak lelaki saya sering bermula dengan pangkal H dan diakhiri dengan Daniel seperti Hadif dan Habib Daniel. Kini tradisi itu dipecahkan kerana saya memang mahu mengabadikan nama bekas Perdana Menteri ke-4 iaitu Tun Mahathir Mohamed itu dalam nama anak saya.

"Tahun ini tahun ketiga saya melakonkan watak Tun Mahathir dan semenjak isteri saya berbadan dua tahun lalu saya ada memasang niat untuk menamakan ia Mahathir jika dikurniakan anak lelaki. Kerana sudah memasang niat, walaupun isteri melahirkan bayi perempuan tahun lalu, saya tetap mengekal pangkal nama huruf M iaitu Maya Sari berlainan dengan kakaknya Damia dan Dalea Sari.

"Rezeki saya lagi tahun ini, saya dikurniakan cahaya mata lelaki, pada pagi sebelum berlangsungnya majlis sidang akhbar untuk Teater Tun Hasmah. Mungkin tuah memihak kepada Mahathir Daniel kerana Tun Siti Hasmah sendiri terharu apabila saya memberitahu tentang kelahianbayi ini.

"Menambahkan kegembiraan saya pada hari ini setelah pelbagai perkara indah yang berlaku, Tun Siti Hasmah yang terharu dengan tindakan saya itu berkata, dia akan sampaikan sendiri berita ini kepada Tun Mahathir,"ujarnya yang kelihatan begitu ceria ketika ditemuramah.

Terkenal dengan personaliti yang ramah dan mesra, Esma Daniel bakal membawakan watak Tun Dr Mahathir buat kali ketiga dalam pementasan tribute Teater Tun Dr Siti Hasmah pada 9 November hingga 19 November 2012 di Panggung Sari Istana Budaya.

 Namun, dalam pementasan kali ini, Tun Dr Siti Hasmah adalah tunjang utama dalam teater arahan Erma Fatima tersebut. Dalam bulan yang sama (November) juga, filem pertama arahan Esma Daniel iaitu Zaiton.. Ceritaku bakal muncul di pawagam pada awal November depan.

sumber:http://www.murai.com.my 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan