Di antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah selamatnya
Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun dan tenggelamnya Firaun dan bala
tenteranya dalam Laut Merah.Ayat 50 surah al-Baqarah menceritakan hal
ini dan hadis Nabi menerangkannya.
Saintis Barat mengemukakan teori angin bertiup yang membelah Laut
Merah untuk Nabi Musa (lihat youtube). Mereka mengkaji tetapi mereka
tidak beriman sepenuhnya dengan ajaran Musa itu sendiri. Di antara
ajarannya ialah apabila tiba Nabi akhir zaman-Ahmad/Muhammad, maka
berimanlah dengannya tetapi itu tidak berlaku. Saintis Barat hanya
menjadi seperti Yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram meraikan Nabi Musa
tetapi menolak ajaran Taurat lain.
Apa beza dengan umat Islam yang berpuasa sunat pada hari Asyura atau
membuat bubur asyura malah mempertandingkannya seperti di Kemaman tetapi
menolak ajaran al-Quran selain puasa?
Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Nabi SAW tiba di
Madinah. Baginda mendapati Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10
Muharram). Baginda bertanya; ‘Hari apa yang kamu puasa ini?’
Jawab Yahudi: ‘Hari ini hari mulia. Allah menyelamatkan padanya Musa
dan kaumnya, serta menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa
pada hari Aasyura sebagai tanda syukur. Lalu kami berpuasa padanya.’
Sabda Nabi SAW : ‘Kami lebih berhak dan utama dengan Musa daripada
kamu.’ Nabi berpuasa dan memerintahkan para Sahabat berpuasa juga.
At-Tirmizi berkata:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Baginda bersabda: ‘Puasalah
hari ke 9 dan 10, serta jangan sama dengan Yahudi’. Hadis ini menjadi
hujjah bagi Imam Shafie, Ahmad bin Hanbal dan Ishak. (Tafsir al-Munir j1
ms 163)
Hadis tentang Yahudi di atas ada perbahasannya seperti yang disebut
oleh Imam Nawawi dalam syarah hadisnya. Yang penting ialah berpuasa
sunat atau membuat bubur asyura dalam keadaan sedar dengan apa yang
dibuat dan menghayati Islam secara syumul, bukan hanya buburnya.
Demikian juga mukjizat Nabi Musa as yang mendahului bukti saintifik.
Kita membenarkan mukjizatnya walaupun tiada bukti saintifik
Lakaran artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air
lagun (kiri) dan sungai (kanan) ‘berpusing’ dan membentuk dinding air
dekat Laut Merah.
Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah
laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor
sebuah akhbar.
Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl
Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati
fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan
menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel
terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut
di hadapan mereka.
Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai
Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini
dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut
Merah dan satu cawangan Sungai Nil.
Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu
menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan
angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8
kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan
lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.
Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi
melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa
meter itu.
Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.
Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.
Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan