Rangkuman – Minggu Ke-2 Sahkan Penerbangan Tidak Dikenali Adalah MH370


KUALA LUMPUR — Operasi mencari dan menyelamat (SAR)
pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang masuk minggu
kedua, dengan pengesahan bahawa penerbangan yang tidak dikenali sebelum ini
dikesan radar utama adalah Penerbangan MH370.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu persidangan akhbar di
Sepang hari ini bahawa pesawat itu telah melencong dari laluan asalnya menuju
Beijing, China, dan terus hilang sejak Sabtu lepas.

Sekalipun laporan media menyatakan pesawat itu telah dirampas, Najib
menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan tentang apa
yang menyebabkan Penerbangan MH370 itu melencong.

Pihak berkusa dan pasukan penyiasat telah juga mendapat data baru
berhubung komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit, dan ini membuka fasa
baru operasi mencari, termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan
mengkaji semula kerahan aset.

Hasil siasatan itu dipersetujui Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA),
dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), kedua-duanya berpangkalan
di AS; Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) United Kingdom; dan pihak
berkuasa Malaysia, yang menyiasat berasingan terhadap data yang sama.

Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya
memutuskan bahawa komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit adalah di satu
daripada dua koridor yang mungkin – utara atau selatan.

Yang pertama, koridor utara meliputi kawasan kira-kira antara sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan hingga bahagian utara Thailand; atau kedua, koridor
selatan meliputi kawasan kira-kira antara Indonesia hingga bahagian selatan
Lautan Hindi.

Najib juga mendedahkan menurut data baru, komunikasi terakhir antara pesawat
itu dengan satelit ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia 8 Mac, Sabtu.

Berikutan itu juga, pihak berkuasa Malaysia kini memfokus semula siasatan
terhadap kru dan penumpang.

Setakat hari ini, 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam operasi
mencari.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan dakwaan media
antarabangsa bahawa Malaysia tidak prihatin terhadap keluarga penumpang MH370
dan kerana itu tidak menghantar wakil ke China.

MAS, dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata ia terus komited
sepenuhnya memperkongsikan informasi yang sahih dengn anggota keluarga dan orang
ramai secara yang cukup terbuka dan telus berhubung kehilangan pesawat
berkenaan.

Namun, memandangkan keadaan situasi, MAS berkata pentingnya mengesahkan
maklumat baru sebelum disiarkan kepada khalayak ramai amat diutamakan.

Ia berkata prioriti mutlak MAS pada setiap masa ialah membantu pihak
berkuasa yang mengetuai operasi pelbagai negara mencari pesawat berkenaan supaya
mereka akhirnya dapat memberikan jawapan yang begitu ditunggu-tunggu oleh
keluarga berkenaan dan orang ramai.
– BERNAMA
Read more ...

Vietnam Hentikan Sepenuhnya Pencarian MH370 Dalam Wilayah Penerbangannya


Vietnam hari ini menghentikan sepenuhnya sebarang usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 dalam wilayah penerbangan negara itu.

Langkah itu diambil selepas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan tindakan sengaja merupakan punca kapal berkenaan hilang dari radar ketika dalam penerbangan ke Beijing, 8 Mac lalu dan ia telah diterbangkan ke arah barat Semenanjung Malaysia.

Pengesahan itu dibuat oleh Naib Ketua Turus Tentera Vietnam, Lt. Gen. Vo Van Tuan kepada media rasmi negara itu.

“Kami telah secara aktif berusaha mengesan kapal berkenaan dari hari pertama (ia dilaporkan hilang), dan itu adalah tanggungjawab kami sebagai rakan di wilayah itu,” katanya.

Beliau berkata, negaranya telah mengerakkan 11 pesawat udara dan 10 kapal laut dalam operasi pengesanan itu.
Read more ...

Polis Dilihat Masuk Ke Rumah Kapten Pesawat MH370


SHAH ALAM — Polis dilihat tiba di rumah Kapten
Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370, pada 2.42
petang tadi selepas sidang berita Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengenai perkembangan pesawat yang hilang itu.

Tiga anggota polis berpakaian preman itu memperkenalkan mereka dari ibu
pejabat polis Bukit Aman kepada pengawal keselamatan yang mengawasi kediaman
Laman Seri di Seksyen 13 di sini, sebelum mengambil pas keselamatan untuk
memasuki kawasan itu.

Difahamkan anggota polis berkenaan telah menjalankan pemeriksaan di kediaman
juruterbang itu dan mereka dilihat meninggalkan rumah itu pada 4.46 petang.

Wakil-wakil media tempatan dan asing yang menunggu di kawasan perumahan itu,
tidak dibenarkan memasukinya oleh pengawal keselamatan.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing
dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada Sabtu lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari kelapan hari
ini, masih gagal mengesan pesawat itu.

Sementara itu, polis dijadual memberi kenyataan rasmi mengenai pemeriksaan
di rumah Zaharie pada satu sidang media esok.

“Saya tidak boleh nyatakan bila mereka jalankan siasatan dan siapa
yang memberi maklumat mengenai perkara itu kepada agensi berita luar negara,
Reuters, tadi tetapi apa yang boleh diberitahu setakat ini, kemungkinan perkara
itu akan diumumkan esok.

“Diharap media boleh menunggu,” katanya.

Pada 8.07 malam, polis dipercayai memeriksa rumah pembantu juruterbang Fariq
Abdul Hamid di Seksyen 7 di sini, kira-kira sejam sebelum beredar dengan
sekurang-kurangnya dua beg kertas perang.

Mereka tiba di rumah Fariq dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sama,
yang  memasuki kawasan kediaman Zaharie.

Turut kelihatan di luar rumah itu ialah MPV berwarna kelabu dan sebuah
Toyota Vios.

Sejumlah empat lelaki berpakaian preman yang menaiki MPV putih serta enam
individu lain, kesemuanya dipercayai pegawai polis, dilihat memasuki rumah
Fariq.–BERNAMA
Read more ...

Kenyataan Akhbar Penuh Oleh PM Mengenai Pesawat MH370


KUALA LUMPUR – Berikut ialah kenyataan akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang:

Tujuh hari lepas, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang. Kami sedar ini merupakan detik-detik yang amat menyeksakan bagi keluarga penumpang yang menaiki pesawat itu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keperitan yang sedang mereka alami. Sesungguhnya, perasaan simpati dan doa kami sentisa bersama mereka.

Saya meneliti operasi mencari pesawat itu sepanjang masa. Pada peringkat awal operasi, saya mengarahkan supaya kawasan mencari diperluaskan; saya mengarahkan pihak berkuasa Malaysia berkongsi semua maklumat berkenaan secara bebas dan telus dengan pasukan penyiasat yang semakin besar; dan saya meminta sahabat dan sekutu kami supaya menyertai operasi ini. Sehingga hari ini, sebanyak 14 negara, 43 kapal dan 58 pesawat terlibat dalam usaha ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerajaan yang memberi pertolongan dalam saat-saat yang amat getir ini. Sejak hari pertama lagi, pihak berkuasa Malaysia bekerjaama rapat dengan rakan kami di peringkat antarabangsa – termasuk negara jiran, pihak berkuasa penerbangan dan pasukan mencari dari pelbagai negara – kebanyakan mereka berada di sini sejak Ahad lepas.

Kami telah berkongsi maklumat secara tepat masa dengan pihak berkuasa yang memiliki pengalaman diperlukan bagi mentafsir data yang ada. Kami berusaha tanpa henti untuk membantu penyiasatan. Dan kami meletakkan kepentingan negara di tempat kedua dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Ramai yang faham bahawa situasi ini belum pernah terjadi sebelum ini.

Kami menjalankan operasi mencari di darat, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pada setiap peringkat, kami bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kami memberi tumpuan terhadap setiap petunjuk yang boleh dipercayai.

Memang wujud pelbagai spekulasi. Kami faham keperluan mendesak untuk mendapatkan maklumat bagi pihak keluarga terbabit dan mereka yang memerhati di seluruh dunia. Namun demikian, tanggungjawab kami kepada penyiasatan dan keluarga terbabit adalah untuk hanya mengeluarkan maklumat yang sudah disahkan. Dan perkara yang memberi motivasi kepada kami ialah untuk mencari pesawat berkenaan.

Dalam fasa pertama operasi mencari, kami melakukan pencarian berhampiran posisi terakhir MH370 yang diketahui iaitu di Laut China Selatan. Pada waktu yang sama, kami dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia bahawa menurut radar utama mereka, sebuah pesawat udara – yang identitinya tidak dapat disahkan – telah berpatah balik. Data radar utama ini menunjukkan bahawa pesawat udara berkenaan menggunakan laluan penerbangan yang membawanya ke satu kawasan di utara Selat Melaka.

Berdasarkan data yang boleh dipercayai ini, yang kemudiannya disahkan dengan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan, kami meluaskan kawasan mencari hingga meliputi Selat Melaka dan kemudiannya Laut Andaman.

Awal pagi tadi, saya diberi taklimat oleh pasukan penyiasat – yang dianggotai FAA, NTSB, AAIB, pihak berkuasa Malaysia serta Pemangku Menteri Pengangkutan – mengenai maklumat baharu yang memberi lebih banyak petunjuk tentang apa yang berlaku kepada MH370.

Berdasarkan maklumat terbaharu satelit, kami boleh menyatakan dengan tahap kepastian yang tinggi bahawa Sistem Pengendalian Komuniksi dan Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat berkenaan sampai ke pantai timur semenanjung Malaysia.

Sejurus selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.

Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai – tetapi tidak disahkan – MH370 memang berpatah balik.

Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung Malaysia, sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang
daripada liputuan radar utama tentera, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Hari ini, berdasarkan data satelit belum proses yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan di dalam radar utama itu adalah penerbangan MH370. Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama.

Menurut data baharu itu, komunikasi terakhir yang disahkan berlaku antara peswat itu dengan satelit ialah pada pukul 8:11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac. Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi lagi usaha mencari.

Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia mempunyai hubungan dengan satelit.

Bagaimanapun, berdasarkan data baharu ini, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor ini: koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand, atau koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Pasukan penyiasat sedang berusaha untuk memperhalusi lagi maklumat ini.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, pihak berkuasa Malaysia mengalih fokus penyiasatan mereka kepada petugas dan penumpang pesawat berkenaan. Walaupun terdapat laporan media bahawa pesawat itu telah dirampas, saya ingin menegaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa: kami sedang menyiasat semua kemungkinan yang boleh menyebabkan MH370 melencong daripada laluan asal penerbangannya.

Maklumat satelit terbaharu ini memberi kesan penting terhadap bentuk dan skop operasi mencari. Kami telah menghentikan operasi kami di Laut China Selatan dan menilai semula penggunaan aset kami. Kami sedang bekerjasama dengan negara berkaitan dan memohon mereka memberi semua maklumat berkenaan untuk digunakan dalam operasi mencari, termasuk data radar.

Oleh kerana dua koridor baharu itu melibatkan banyak negara, maka kedutaan negara berkenaan hari ini diundang menghadiri majlis taklimat bersama Kementerian Luar Negeri dan pakar teknikal berhubung maklumat yang baharu diperoleh itu. Saya juga telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri memberi taklimat penuh kepada kerajaan-kerajaan asing, yang rakyat mereka menjadi penumpang pesawat itu. Pagi tadi, Malaysia Airlines memaklumkan kepada keluarga penumpang dan petugas pesawat mengenai perkembangan terbaharu ini.

Jelas sekali, usaha mencari MH370 kini memasuki fasa baharu. Sepanjang tujuh hari lepas, kami mengikuti setiap petunjuk dan mengkaji pelbagai kemungkinan. Kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terlibat, kami berharap maklumat baharu ini akan membawa kami lebih dekat kepada menemui pesawat berkenaan.

SEKIAN – BERNAMA
Read more ...

Eina Azman Bakal Adakan Sidang Media


SEBELUM ini, kecoh seketika dunia hiburan dengan kisah pelakon Eina Azman yang meninggalkan lokasi penggambaran filem ketika berlakon di Jakarta, Indonesia.

Khabarnya, ia berlaku akibat perselisihan faham antara pelakon itu dengan pengarah produksi di negara itu.

Menerusi Harian Metro, Eina tampil menjelaskan perkara sebenar.

“Saya tidak mahu bercerita lebih-lebih lagi bimbang disalah erti semua orang. Cukup-cukuplah kontroversi yang saya lalui sebelum ini. Saya tidak mahu tersalah cakap kerana ia boleh mengundang salah faham ramai pihak.

“Cukuplah saya katakan bagaimana saya hendak meneruskan penggambaran jika hampir dua minggu melakukannya masih tiada kontrak diberi, berada pula di negara orang bayangkan jika berlaku apa-apa di sana siapa hendak bertanggungjawab ke atas diri saya.

“Selebihnya, biarlah ia dijelaskan pada sidang akhbar yang akan saya adakan tidak lama lagi,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Eina telah melantik Usop Wilcha sebagai perunding bagi membantunya menjelaskan perkara tersebut sewaktu sidang media itu nanti.

Menurut Usop, selain tidak diberikan kontrak, Eina juga dipaksa melakukan adegan ranjang yang dia sendiri tidak sanggup melakukannya.

“Eina tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang penggambaran filem Zombi Kilang Biskut dan perkara ini timbul kerana beberapa perkara yang diambil mudah pihak produksi terbabit.

“Apa pun kami akan adakan sidang media dalam masa terdekat ini untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya.

Jika benar apa yang dikata, mungkin kami boleh menganggap Eina semakin matang selepas kontroversi demi kontroversi yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Read more ...

Upin & Ipin Kongsi Lukisan Dedikasi Kepada MH370


KUALA LUMPUR: Les’Copaque Production selaku pencipta karakter Upin & Ipin mendedikasikan laman Facebook mereka untuk berkongsi mesej-mesej semangat terhadap kejadian kehilangan MH370 menerusi lukisan.

Laman yang kini mencecah lebih 8 juta LIKES itu telah menerima lebih 20 lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak dan dewasa, bukan saja dari Malaysia malah Indonesia dan Filipina.

Mereka yang mahu menghantar lukisan boleh berbuat demikian melalui Facebook Upin & Ipin atau melalui instagram dengan hashtag #UpinIpinPrayforMH370.

Berikut merupakan antara lukisan yang dikongsikan di laman sosial tersebut. – Astro Awani




Read more ...

#MH370: Petunjuk Terbaru Legakan Keluarga


PUTRAJAYA – Petunjuk terbaharu yang diperoleh berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 memberi kelegaan kepada keluarga penumpang pesawat.

Bapa penumpang, Selamat Omar, 60, berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi harapan baru kepada beliau dan keluarga.

“Sekurang-kurangnya kami boleh menaruh harapan pesawat itu berada dalam keadaan baik dan semua penumpang selamat,” katanya kepada media di Hotel Everly di sini, sebaik saja selepas menonton pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung perkembangan terkini kehilangan MH370 di televisyen. – Berita Harian
Read more ...

(Kemaskini) Sah!!! MH370 Telah Dirampas… PM Sahkan Kapal Sengaja Dilencong Ke Laluan Baru


(KEMAS KINI….) Perdana Menteri Sahkan MH370 Dilencongkan Dengan Sengaja

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib TUn Razak sebentar tadi mengesahkan kapal MH370 telah dilencongkan dengan sengaja ke laluan baru.

Walaupun tidak menyatakan secara tepat ia dirampas, tetapi beliau mengakui campur tangan secara sengaja telah menyebabkan kapal itu hilang daripada radar awam.

Beliau mengaku ia telah dengan sengaja diterbangkan pihak tertentu ke arah barat melintas semenanjung Malaysia.

Kata Najib, data memperlihatkan kapal masih di udara jam 8.11 pagi (perhubungan terakhir) walaupun ia sepatutnya sudah mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan kini bertumpu kepada koridor utara di kawasan Kazakstan dan Thailand serta koridor selatan (Indonesia dan laut selatan India).

Penyiasat merumuskan bahawa seorang atau lebih orang yang memiliki pengalaman menerbangkan kapal yang agak tinggi telah merampas (hijacked) kapal MH370, mematikan alatan komunikasi dan mengubah haluan kapal, menurut seorang pegawai Malaysia yang terbabit dalam siasatan itu, lapor Los Angeles Times dan Associated Press.

Tiada motif atau permintaan yang diketahui setakat ini dan tidak pasti secara tepat ke mana kapal berkenaan telah dibawa, kata pegawai berkenaan yang bercakap tanpa mendedahkan namanya kerana dia tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Menurut pegawai berkenaan, rampasan kapal terbang bukan lagi setakat teori.

“Ia sudah tidak boleh disangkal,” katanya.

(BACA – Data Radar Memperlihatkan MH370 Berubah Haluan Lebih Dari Sekali)

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual akan mengadakan satu sidang media khas sebentar lagi di KLIA.

Tidak diketahui apa kandungan sidang media berkenaan namun berkemungkinan untuk mengesahkan MH370 telah dirampas.

Beliau akan hanya membuat satu kenyataan dan dijangka tidak akan menjawab sebarang soalan media. Semua soalan perlu diajukan semasa sidang media jam 5.30 petang nanti.

Buat pertama kalinya, bilik media telah diarah untuk dikosongkan bagi tujuan keselamatan.

Dalam pada itu, seorang pramugari yang sepatutnya bertugas dalam penerbangan MH370 tetapi tidak hadir untuk berkerja telah ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan kehilangan pesawat itu.

Pesawat MH370 hilang dari radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing kira-kira pukul 12.41 pagi Sabtu.

Ia dijadualkan tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Read more ...

Juruterbang Bebas Punyai Hobi, Miliki Simulator

SEPANG – Juruterbang berhak mempunyai hobi masing-masing termasuk memiliki simulator penerbangan di kediaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya.

“Bagi juruterbang, mereka bebas mempunyai hobi masing-masing…mempunyai simulator di rumah sendiri,” katanya dalam sidang berita harian mengenai perkembangan kehilangan pesawat MAS MH370 di sini hari ini.

Beberapa media tempatan dan asing melaporkan dengan memetik gambar daripada laman sosial Facebook milik juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah, yang menunjukkan juruterbang itu mempunyai simulator penerbangan sendiri di rumahnya di Shah Alam.

Ahmad Jauhari berkata siasatan secara terperinci ke atas juruterbang tersebut hanya akan dilakukan jika terdapat petunjuk tertentu.

Jelasnya MAS masih lagi meneliti kesemua senarai krew penerbangan dan penumpang pesawat MH370 itu sebelum memulakan sebarang siasatan terperinci.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kemudian menjelaskan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas simulator tersebut belum lagi dilakukan.

“Kami tidak dapat jawab soalan mengenai perkara itu sehingga mereka pergi ke rumah itu untuk melihat simulator.

“Polis belum pergi ke rumah itu…belum memeriksanya…tetapi siasatan ke atas juruterbang itu sedang dijalankan,” katanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan ke rumah juruterbang itu untuk menemu bual anggota keluarga juruterbang tersebut, yang merupakan siasatan rutin untuk mencari sebarang petunjuk membabitkan aspek psikologi atau mental.

Kapten Zaharie merupakan juruterbang berpengalaman kerana sudah berkhidmat lebih 30 tahun.

Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 12.41 pagi Sabtu lepas. – BERNAMA
Read more ...

Ramai Media Mabuk Laut Ketika Ikut Operasi SAR


Ramai wartawan, jurugambar dan kru televisyen yang mengikut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), dilaporkan mengalami mabuk laut.
Mengikut laporan akhbar The Malay Mail, seramai 13 anggota media telah dibawa menaiki bot menyusuri kira-kira 25 batu nautika lautan dari pantai Tok Bali, Kelantan semalam.
Bagaimanapun baru 10 minit ikut serta, beberapa anggota media mula berasa pening dan loya. Keadaan diburukkan lagi oleh gelombang kuat disebabkan air pasang.
Tidak lama kemudian, sebilangannya mulai muntah ke dalam beg plastik. Namun seorang jurugambar dikatakan terlalu lemah hingga termuntah ke atas pakaiannya sendiri.
Melihat keadaan ini, wakil APMM segera memindahkan pihak media ke atas dek kapal.
Juru cakap APMM turut memberi tip, salah satu cara anggota maritim mengelak mabuk laut adalah menyibukkan diri mereka di atas dek.
Sepanjang operasi yang memakan masa empat jam semalam, pihak media telah didedahkan tentang cara bagaimana operasi SAR dijalankan di lautan.
Antara yang ditunjukkan termasuklah penggunaan binokular bagi mengesan sebarang petanda berkaitan pesawat MH370.
Suasana dikatakan sempat kecoh seketika apabila salah seorang anggota media mendakwa ternampak objek menyerupai rakit atau jaket keselamatan namun selepas diperiksa, ia rupa-rupanya cuma kotak terbuang. 
Read more ...

Nurul Izzah Dakwa Talian Maxis Beliau Kena Godam


KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendakwa talian telefon beliau digodam pihak tertentu sejak beberapa hari lalu.

Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, penggodam tersebut menggunakan talian Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen kawasan itu untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diketahui kandungannya

“Adalah dimaklumkan bahawa nombor talian yang digunakan oleh Nurul Izzah telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih lagi belum diketahui identitinya. Talian beliau telah digunakan oleh penggodam untuk menghantar SMS yang tidak diketahui kandungannya,” dakwa kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu mendakwa, perbuatan tersebut dipercayai bertujuan mewujudkan kecelaruan dalam barisan jentera parti-parti pembangkang yang kini berhadapan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

“Kami berharap tindakan segera dan tegas diambil syarikat telekomunikasi khususnya Maxis atas kelakuan khianat ini,” kata kenyataan itu.
Read more ...

Video: Nora Nafi Sambut Birthday Di Kelab Haram


Pelakon Nora Danish menafikan khabar angin yang bertiup kencang mengaitkan dirinya sebagai selebriti yang berjaya meloloskan diri daripada operasi serbuan ke atas kelab haram seperti mana yang disiarkan dalam sebuah rancangan bercorak kepolisan, 999.

Namun, Nora segera menyanggah tuduhan tersebut apabila dengan mengatakan dia menyambut hari jadinya di sebuah restoran yang kebetulan berada dalam satu bangunan dengan kelab yang beroperasi tanpa permit itu.

Kesian Nora, tak pasal-pasal namanya pula dikaitkan dengan isu yang tak sepatutnya.

Apa pun jom dengar dulu penjelasan daripada aktress comel ini mengenai tuduhan ‘panas’ yang dilemparkan terhadapnya itu.


Read more ...

Leman Raja Lawak Sebar Video Palsu #MH370


APABILA sesuatu isu timbul, ramai pakar tidak bertauliah akan muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Insiden kehilangan pesawat MH370 juga tidak terkecuali.

Semakin ramai ‘penganalisis, penyiasat dan pakar penerbangan’ tampil memberikan teori serta pendedahan maklumat yang tidak tepat malah mengelirukan. Tidak kurang juga ramai yang mahukan publisiti murahan.

Satu video yang diupload oleh Facebok Leman Raja Lawak kononnya mendedahkan propaganda yang cuba dirahsiakan dari pengetahuan rakyat.

Video tersebut menunjukkan perjalanan radar pesawat MH370 yang dikatakan tidak terhempas seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh pihak berkuasa.

Namun, ramai pengguna media sosial yang menyedari maklumat palsu yang disebarkan Leman Raja Lawak menerangkan bahawa pesawat dalam video itu bukanlah pesawat MH370 yang hilang.

Sebaliknya, nombor pendaftaran pesawat di dalam video itu adalah 9M-MRQ manakala nombor pesawat yang hilang ialah 9M-MR0.

Tambahan lagi, MH370 sebenarnya adalah nama bagi laluan pesawat dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tidak cukup dengan itu, ramai pengguna media sosial mengutuk maklumat palsu yang disebarkan Leman Raja Lawak.

Tidak kurang juga yang turut memaki hamun Facebook Leman Raja Lawak dengan panggilan seperti bodoh, bangang dan penyebar fitnah.

Walaubagaimanapun, video itu telah menjadi viral dengan lebih “3000 Shares”.

Jumlah itu pasti membuatkan ramai menerima maklumat yang salah di laman media sosial. Seperti komen di dalam video itu.

“Klo dr leman raja lawak… His credibility is just at rajalawak… Conpare dgn APMM, DCA, menteri.. And skrg 12 negara dh bersm menolong… Xkan leman rajalawak nyr sumber lg hebat dr 12 negara nie”

Mungkin menyedari respon negatif yang diterima, ‘caption’ pada video itu ditukar daripada bentuk tuduhan kepada pertanyaan seperti gambar dibawah.


Read more ...

Bomoh Sudah Emosi… Ugut Saman Pihak Yang Kecam Ritualnya


BOMOH VIP atau dikenali sebagai Ibrahim Mat Zin buat ugutan akan menjalankan tindakan saman ke atas sesiapa yang mendakwa perbuatan pihaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Isnin lepas melanggar syarikat Islam.

Tiga orang pengikut Ibrahim pada kejadian itu duduk di atas sehelai tikar seperti tikar terbang dalam filem Laksamana Do Re Mi dengan memegang tongkat, bakul rotan dan buah kelapa.

Kemudian, mereka mendayung di atas tikar berkenaan seperti menaiki sampan dengan mengucapkan kalimah “Allahu Akbar” yang jelas tidak mengkiut landasan syariat Islam.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Ibrahim mendakwa upacara itu menggunakan ayat suci Al-Quran dan berlandaskan syariat Islam.

“Pengunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua-tua dan bukannya untuk dipuja.

“Saya harap orang ramai tidak mudah menuduh saya terpesong daripada ajaran Islam dan tindakan mahkamah akan diambil kepada mereka yang degil,” katanya.

Ekoran kejadian itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan pihak Pakatan Rakyat bahawa kerajaan memberi kebenaran kepada bomoh Ibrahim untuk membantu mengesan lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut Shahidan amat mustahil untuk kerajaan membenarkan upacara yang bertentangan dengan Islam dan khurafat itu untuk dilakukan.

Ibrahim sebenarnya muncul dua kali di KLIA dengan kali pertama dia melakukan ritual dengan menggunakan dua teropong buluh dan bubu ikan dan pada hari kedua barulah ritual “tikar terbang” dilakukan.

Tindakan itu menerima kecaman pelbagai pihak kerana dilakukan di tengah-tengah kesibukan KLIA.
Read more ...

Bomoh Sewel Ibrahim Mat Zin Nak Tampar KJ Macam Buaya



Ramai berasa kurang senang dengan tindakan Bomoh VIP atau Ibrahim Mat Zin yang melakukan ritual pelik di KLIA tempoh hari kerana ia dianggap memalukan negara.

Salah seorangnya adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) yang meluahkan perasaan tersebut menerusi Twitter.

Rupa-rupanya, tindakan KJ ini telah mendatangkan kemarahan Ibrahim apabila mengetahuinya.

Justeru, Ibrahim memberi amaran mahu mengambil tindakan terhadap KJ termasuk menyaman sebanyak RM100 juta dan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memprotes tentang pemilihan KJ sebagai menteri.

Menyifatkan KJ sebagai budak baru yang mencari publisiti menggunakan namanya, Ibrahim turut mencabar KJ agar meletak jawatan sebagai menteri dan berlawan dengannya.

“Saya tampar dia macam buaya baru tahu. Dia cakap kurang asam, biadap,” tutur Ibrahim dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di YouTube sejak semalam.

Menurut Ibrahim, dia tidak takutkan KJ malah sudah berpengalaman menentang lima menteri sebelum ini.

Dalam pada itu, tinjauan Mynewshub di Twitter KJ mendapati cabaran Ibrahim ini disambut Ahli Parlimen Rembau tersebut secara sinikal.

Buktinya, KJ memuatnaik link video yang memaparkan cabaran Ibrahim untuk menampar dirinya dengan ucapan “Video Raja Bomoh Tampar VIP. Enjoy” dan “Raja Bomoh VIP nak tampar saya cam kokedai”.



Video


Read more ...