Ramai wartawan, jurugambar dan kru televisyen yang mengikut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), dilaporkan mengalami mabuk laut.
Mengikut laporan akhbar The Malay Mail, seramai 13 anggota media telah dibawa menaiki bot menyusuri kira-kira 25 batu nautika lautan dari pantai Tok Bali, Kelantan semalam.
Bagaimanapun baru 10 minit ikut serta, beberapa anggota media mula berasa pening dan loya. Keadaan diburukkan lagi oleh gelombang kuat disebabkan air pasang.
Tidak lama kemudian, sebilangannya mulai muntah ke dalam beg plastik. Namun seorang jurugambar dikatakan terlalu lemah hingga termuntah ke atas pakaiannya sendiri.
Melihat keadaan ini, wakil APMM segera memindahkan pihak media ke atas dek kapal.
Juru cakap APMM turut memberi tip, salah satu cara anggota maritim mengelak mabuk laut adalah menyibukkan diri mereka di atas dek.
Sepanjang operasi yang memakan masa empat jam semalam, pihak media telah didedahkan tentang cara bagaimana operasi SAR dijalankan di lautan.
Antara yang ditunjukkan termasuklah penggunaan binokular bagi mengesan sebarang petanda berkaitan pesawat MH370.
Suasana dikatakan sempat kecoh seketika apabila salah seorang anggota media mendakwa ternampak objek menyerupai rakit atau jaket keselamatan namun selepas diperiksa, ia rupa-rupanya cuma kotak terbuang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan