KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta taklimat diadakan sekali lagi Rabu dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu.
“Saya telah meminta taklimat diadakan lagi hari ini dengan pasukan SAR. Kita akan berusaha tanpa henti dengan kerjasama antarabangsa untuk mencari MH370,” katanya melalui laman Twitter pada Rabu.
Semalam Najib menghadiri satu taklimat selama kira-kira 90 minit yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman di Pusat Keselamatan Koordinasi Aeronautika di Pusat Kawalan Trafik Udara DCA di Subang.
Dalam catatan Twitternya, Najib juga berkongsi gambar semasa taklimat itu yang diambil bersama pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Azharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.
Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dari radar dalam pukul 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi Sabtu. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan