Lori Bomba Terbakar Ketika Operasi Memadam


ROMPIN – Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin telah terbakar sekitar jam 1 tengah hari, kelmarin, ketika operasi pemadaman di Ladang Sungai Endau sedang dijalankan.

Difahamkan, ketika kejadian, lori yang dinaiki dua anggota itu dalam perjalanan untuk mengambil makanan di pejabat pengurusan ladang untuk diberi kepada anggota bomba yang bertugas dan pekerja ladang yang turut terlibat membantu operasi pemadaman.

Pegawai Bomba Kanan I dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Md Yunus Isnin yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

“Ketika kejadian, dua anggota yang menaiki lori tersebut dalam perjalanan ke pejabat pengurusan ladang untuk ambil makanan tengah hari.

“Tiba di satu lokasi, tiba-tiba anggota yang memandu lori tersebut rasa bahang panas di bahagian belakang dan menoleh lalu melihat api sedang marak. Kedua anggota terus terjun dari lori,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Yunus, anggota tersebut hanya mampu melihat lori tersebut terbakar kerana tiada bekalan air dan jarak kumpulan anggota yang sedang dalam operasi memadam juga jauh.

“Buat masa ini anggota forensik sudah ke sana dan siasatan sedang dilakukan. Punca kebakaran masih belum diketahui,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang keadaan kebakaran di hutan belukar di Kampung Kerpal, Yunus mengatakan bahawa luas kawasan kebakaran semakin bertambah.

“Keadaan kebakaran di hutan belukar Kampung Kerpal makin merebak ke sebelah bahagian hutan dan asap juga lebih tebal berbanding sebelum ini.

“Bagaimanapun, ladang kelapa mataq yang berhampiran kawasan kebakaran itu berjaya diselamatkan,” katanya. - Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan