Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM), sebagai tunjang utama kekuatan pertahanan negara kini sudah mencapai usia 81 tahun. Kalau dari segi orang, dah nampak kedut dan bongkoknya tetapi kaya dengan pengalamannya. Namun sebagai satu pasukan, usia 81 tahun makin mematang dan memantapkan TD sebagai satu pasukan yang mengalami evolusi penuh wibawa. Dari satu nukleus pasukan kecil anak muda yang hanya bersenjatakan SLR, ia kini satu ketumbukan dengan kekuatan hampir 100,000 orang dengan 18 kor dan pelbagai aset strategik.
Kehebatannya, meski ditidakkan oleh warga sendiri teraku oleh pasukan² asing yang jauh dilabel lebih hebat. Nak pula pasukan Gerak Khas yang menimpa nama sebagai satu pasukan strategik penting yang mengharumkan nama negara di pelbagai pelosok dunia. Namun kecemerlangan itu tidak datang dengan harga yang murah. Untuk menyarung uniform penuh kebanggaan itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Uniform yang hanya dibuat dari kain berharga sekitar RM20 semeter, namun nilainya tak tergambar dengan kata². Tanyalah mana² anggota sekalipun, walau sekadar di mulut mereka mengutuk tetapi dalam hati mereka telah terdidik dengan rasa hormat terhadap uniform tersebut. Terutamanya uniform loreng. Rasa bangga, rasa meremang bulu roma. Semuanya termaktub dek kehormatan yang datang bersama² uniform tersebut. Kenapa? Kerana di uniform itu tersimpan kepada rahsia yang tidak akan difahami oleh orang awam.
Kod disiplin yang membentuk jati diri & tunjang kekuatan sebenar. Kod persaudaraan yang tidak terbentuk dari hubungan darah. Sebaliknya hubungan akrab sesama pasukan. Takkan mungkin dapat difahami oleh mereka yang tiada pendedahan mengenai hal ini.
Sayangnya dalam kita menyambut ulangtahun yang menyaksikan kemantapan pasukan ini menginjak ke dimensi baru, ada makhluk-makhluk yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja melacurkan warna ini dengan pelbagai alasan sampah.
Antaranya adalah fesyen. Pelbagai corak pakaian baru direkabentuk menggunakan warna kebanggan kita ini. Menjadi pakaian² yang langsung tidak mencerminkan semangat jati diri yang terkandung dalam warna tersebut. Kita diajar memakai pakaian ini dengan cara yang tersangat tertib & ketertiban itu membentuk disiplin diri kita. Nak pakai uniform tentera, mata MP dan RSM tajam memerhatikan setiap inci. Samada ianya dipakai betul atau tak & yang pakai, adalah mereka yang telah pun sain mati atau dalam erti kata lain, sain demi perkhidmatan kepada negara dan bangsa.
Uniform tentera itu dipakai bukan untuk suka-suka. Ia membawa bersamanya tanggungjawab yang amat besar & berat. Jika mengikut Konvensyen Geneva, yang pakai loreng ini dalam perang ada hak untuk ditembak tanpa soal atas andaian dia adalah anggota tentera. Itu belum dikira keperitan yang kita lalui demi pakaian itu. Segala latihan, operasi, semuanya diikat pada warna loreng itu.
Tetapi, dapat kepada makhluk² ini? Warna kebanggaan itu kini dah jadi legging ketat yang menampakkan lurah bontot atau baju ketat yang menampakkan lurah dada atau segala macam fesyen yang kadangkalanya tak masuk dek akal. Kalau diperhatikan, macam nak tercabut jantung membayangkannya. Warna itu digunakan sebagai sebahagian daripada uniform ciptaan baru. Anggota kita pakai legging ke bila masuk operasi? Atau pakai skirt dugong masuk pejabat?
Ianya adalah satu trend yang dicetuskan oleh golongan berpengaruh besar terutamanya artis. Tanpa pemahaman yang terperinci, mereka menggunakan uniform tersebut dengan cara yang cukup janggal. Loreng dikenakan dengan kasut tumit tinggi misalnya. Semuanya dihalalkan atas alasan mereka adalah artis yang berpengaruh besar.
Ia kemudian dikembangkan pula dengan pak² pondan yang menggunakan uniform tentera dan pasukan keselamatan lain sebagai asas ciptaan fesyen mereka yang semakin lama semakin hilang akal bentuknya dan digayakan dengan galaknya pula oleh semakin ramai artis. Ia berkembang dan sekarang, tanpa soal, ramai yang mengikut. Mungkin pakaian ala tentera menjadi trend sekian lama. Tetapi kenapa dalam nak mencipta fesyen² tak tentu arah sebegini dan warna pasukan negara yang dipilih?
Terbaru, warna loreng Tiger Woodlands Camo 2000 dan digital loreng baru. Anggota sendiri belum dapat edaran pakaian uniform digital baru tersebut serta fabriknya boleh didapati dengan selamba di pasaran secara terbuka. Yang menjual, jual tanpa 2 3 kali kira. Yang design, suka² hati taruk rekabentuk ikut suka. Apakah begitu murahnya harga uniform kita?
Dimana ketirisannya? Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Salah seorang rakan admin memberitahu, dia telah terjumpa lubuk penjualan fabrik uniform secara haram di sebuah kedai. Semua warna ada. Dari pasukan TD hinggalah pasukan keselamatan lain. Malah yang belum dipublish pun sudah ada stoknya?
Amboi, mudahnya? Dan ia boleh dibeli dengan senang dan bawalah pergi ke designer² pondan yang tak tau tanggungjawab. Nak fesyen apa cakap saja.
Perbuatan ini sudah semakin berleluasa. Bila tidak dibendung, natijahnya mungkin kita tak terfikir. Ada di kalangan yang membuat rekaan sebegini tidak langsung rasa bersalah. Malah bermacam alasan diberikan demi menghalalkan tindakan mereka yang terang² menghina pasukan keselamatan negara.
Alasan utama? Mereka golongan berpengaruh, banyak duit, ada kedudukan. Maka mereka bebas melakukan apa saja. Walaupun meletakkan maruah pasukan keselamatan di bawah tapak kaki mereka. Sedihnya, tindakan sebegini disokong pula oleh sesetengah golongan yang berfikiran cetek.
Adakah mereka ini merasa perit berjemur di tengah panas? Atau meninggalkan keluarga berbulan² demi bertugas? Atau merasakan peluru bersimpang siur di atas kepala? Aci lawan potong kepala ayam, taruk mereka bawah panas 5 minit dah ada yang terjerit² kata ianya adalah tindakan yang melanggar hak asasi.
Kepada yang tak reti bahasa, admin nak share sikit supaya buka mata. Pasal undang², sila baca:
1. KANUN KESIKSAAN (N.M.B Bab 45)
Seksyen 140. Memakai Pakaian Askar, Kelasi atau Penerbangan. Barang siapa, yang bukannya berjawatan seorang askar, kelasi atau penerbang dalam perkhidmatan tentera darat, laut atau udara Yang di-Pertuan Agong, memakai apa-apa pakaian atau membawa apa-apa tanda yang menyerupai apa-apa pakaian atau tanda yang digunakan oleh seseorang askar, kelasi atau penerbang itu dengan niat supaya boleh dipercayai bahawa ia adalah seorang askar, kelasi atau penerbang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan, atau denda yang boleh sampai RM1,000, atau dengan kedua-duanya.
2. AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (AKTA 336)
Seksyen 16. Memiliki Secara Haram Barang-Barang Kepunyaan Askar, Tentera Laut, Tentera Udara atau Polis. Sesiapa pun yang dengan sengaja mendapatkan, membeli, menukarkan atau menerima dari sesiapa pun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia atau pasukan pertahanan tempatan atau angkatan tentera pelawat atau mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia atau Polis Singapura sebarang kegunaan, pakaian atau lain-lain barang atau peralatan askar, tentera laut, tentera udara atau polis atau sebarang harta benda kepunyaan Kerajaan Malaysia atau Singapura atau Kerajaan Negeri atau
Kerajaan Angkatan tentera pelawat, atau sebarang bintang-bintang kurniaan untuk jasa baik atau untuk perkhidmatan terpuji atau lain-lain atau sesiapa memiliki atau menyimpan sebarang kegunaan tersebut, pakaian atau lain-lain barang, kegunaan atau kepunyaan lain atau bintang-bintang kurniaan seperti
di atas dan tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana dia mendapatkannya boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima puluh ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam minggu atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 25. Memakai Pakaian Seragam Yang Tidak Dibenarkan. Sesiapa yang memakai tanpa kebenaran yang sewajarnya pakaian seragam yang ditetapkan bagi kegunaan mana-mana angkatan bersenjata Malaysia atau manamana angkatan tentera tempatan atau angkatan tentera pelawat atau pasukan polis Malaysia atau Singapura atau mana-mana Kerajaan atau Pihak Berkuasa Tempatan atau apaapa pakaian yang merupai atau mengandungi apa-apa lencana pasukan atau lain-lain lencana yang jelas bagi pakaian seragam itu atau apa-apa tiruan warna terhadapnya jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50 dan apa-apa pakaian seragam, pakaian, lencana atau tanda tersebut boleh dilucut hak.
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menjejaskan pemakaian pakaian seragam tersebut bagi maksud apa-apa pertunjukan pentas.
3. AKTA RAHSIA RASMI 1972 (Akta 88)
Seksyen 9. (1) Menggunakan Uniform Tanpa Kuasa. Jika seseorang dapat masuk atau membantu seseorang lain supaya dapat masuk ke suatu tempat larangan melalui sesuatu yang lain daripada tempat masuk yang dibenarkan atau bagi maksud mendapat masuk, atau bagi membantu seseorang lain supaya dapat masuk, ke sesuatu tempat larangan, atau bagi apa-apa maksud lain yang mudarat kepada keselamatan atau kepentingan Malaysia:
(a) Menggunakan atau memakai, tanpa kuasa yang sah, apa-apa uniform tentera laut, tentera darat, tentera udara, polis atau apa-apa uniform rasmi yang lain atau apa-apa uniform yang hampir-hampir serupa dengannya hingga mungkin memperdayakan, atau dengan palsunya merupakan dirinya sebagai seorang yang berhak atau telah berhak menggunakan atau memakai manamana uniform itu;
Maka dia adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Adakah mereka akan baca? Nope, mereka peduli apa? Kita ini yang dibayar tak berapa sen yang kena jaga keselamatan mereka. Mereka? Tak perlu ada rasa hormat akan perjuangan kita. Sebab itu merasakan mereka bebas bertindak ikut suka.
Gambar di atas adalah contoh ketara. Di sebelah kiri adalah pasangan baru kawin yang sweet kononnya macam taik. Buat potongan entah apa benda. Bergambar kononnya lepas naik jet peribadi demi menyambut perkahwinan mereka. (jet dengan pc7 pun tak kenal).
Bila ditegur bab mereka berpakaian, tengoklah jawapannya. Kemain bongkak bunyinya. Maklumlah, orang berada. Yang di bawah pula, tuan punya Butik The Garment. Pencipta pakaian ala tentera, menggunakan celoreng tentera dan digunakan retis retis dan diikut oleh mereka yang lain yang tak nak belajar tentang Akta Kerahsiaan pakaian berkanun negara, kemudian berlagak macam dah angkat sumpah & cap 10 jari sebagai anggota pasukan keselamatan atau agensi agensi berkaitan keselamatan, terang atau tersorok.
Wak Doyok atau dengan nama sebenar beliau. Muhammad Azwan Mohd Nor. Tidak pasti sama ada benar atau tidak, tetapi mengaku seorang kerabat dengan menggunakan nama - Tengku Muhamad Azwan Shah, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dari salah satu universiti di Jerman. Lihat sajalah cara gayanya. Cuba kalau kita yang pakai gitu, mahu kena sumpah dengan RSM. Tapi mereka bebas, kenapa? Tidak adakah tindakan yang patut diambil kepada mereka?
Warna loreng kita adalah warna keramat yang telah menyaksikan tumpahnya darah anggota kita demi memgekalkan keamanan yang kita kecapi sekarang. Lihat warna itu & hayati sejarahnya. Jangan samakan dengan pakcik pergi bendang yang pakai loreng itu. Sekurangnya ia digunakan demi berbakti walau di ladang. Manakan sama dengan memakainya dalam keadaan yang ditukar rupa & sifat.
Apakah tidak ada penghormatan pada warna ini sehingga ia dilacur demikian rupa? Kalau nak berfesyen pun, adakah tidak ada warna lain yang boleh dipilih? Atau ini satu lagi usaha meretakkan imej dan maruah kita sebagai anggota tentera?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan