Ada Pihak Tuntut Malaysia Haramkan Pukul Anak
SUSULAN kes pasangan Malaysia yang dibicarakan di Sweden, sudah timbul desakan dari beberapa kumpulan hak asasi manusia menuntut supaya undang-undang mirip Sweden dikuatkuasakan di Malaysia.
Sebuah pertubuhan, Protect And Save Children mahu agar perbuatan menghukum anak dengan cara fizikal seperti merotan dan lain-lain diharamkan sama sekali kerana ia didakwa melanggar hak asasi kanak-kanak tersebut.
Pengarah Eksekutifnya P Nagasayee Malathy berkata, hukuman sebegitu rupa mencabul hak asasi seorang kanak-kanak yang masih kecil dan ia dikhuatiri akan menjejaskan keperluan hak asasi lain, katanya memetik laporan dari The Malay Mail Online.
Perkembangan ini sebenarnya sudah boleh dijangka kerana di Malaysia turut terjadinya kes penderaan kanak-kanak yang melibatkan kecederaan malahan ada yang sehingga melibatkan kematian.
Bagaimanapun, untuk menghalang terus perbuatan menghukum anak-anak ia adalah satu perkara yang mustahil kerana didikan sebegitu kadangkala diperlukan memandangkan anak-anak yang masih kecil serta masih perlu banyak bimbingan.
Ekoran umur yang masih kecil, mereka mungkin terdedah kepada pengaruh yang luas tidak kira negatif atau positif. Tanpa didikan yang tegas, pemikiran mereka bimbang akan tercemar dengan unsur negatif yang boleh menggugat kehidupan sosial.
Anak yang tidak dididik dengan tegas akan menyemai rasa bebas untuk melakukan sesuatu tanpa dihalang dan ia akan menjadi semakin buruk apabila kanak-kanak itu semakin meningkat dewasa.
Beberapa pihak di Sweden sendiri sudah mula merasa kekesalan ekoran penguatkuasaan undang-undang sebegitu di Sweden yang dilihat banyak melahirkan anak-anak yang biadab dan kurang ajar kepada orang dewasa.
Menurut satu buku bertajuk “How Children Took Power” Seorang pakar psikiatri David Eberhard berkata keluarga di Sweden sendiri tidak berminat dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.
Pada tahun 1979, Sweden menjadi negara pertama untuk mengharamkan sama sekali perbuatan memukul anak.
“Kita sekarang hidup di dalam budaya yang mana pakar berkata kanak-kanak juga setaraf dengan orang dewasa sehingga satu kesimpulan kanak-kanak perlu diberi kuasa sepenuhnya menentukan apa yang boleh dimakan, apa yang perlu dipakai serta bila untuk masuk tidur,” kata David.
Jika dilihat dari aspek lain pula, ramai pemimpin dan cerdik pandai di negara ini dididik dengan ketegasan yang kuat disertakan sekali dengan perbuatan merotan dan memukul mereka untuk tujuan disiplin.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui bapanya seorang yang garang dan beliau hanya berbual dengan bapanya jika ada perkara yang betul-betul penting.
Berapa ramai pula doktor, peguam dan jurutera yang kini mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa mereka yang mendidik mereka dengan rotan sehingga mereka boleh berjaya seperti hari ini.
Kebanyakan mereka membayangkan mereka akan menjadi individu berbeza jika ibu bapa mereka tidak memukul mereka. - IBNU K
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan