Chong Wei Tidak Letak Sasaran Di All-England




KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak meletakkan sasaran tinggi walaupun beliau diramal berdepan laluan mudah untuk merampas kejuaraan All-England 2014 di National Indoor Arena, Birmingham, England dari 4 hingga 9 Mac ini.

Pemain nombor satu dunia itu berkata pada ketika ini tumpuan lebih banyak diberikan kepada persediaan menghadapi kejohanan lebih besar seperti Piala Thomas di New Delhi, India (18-25 Mei); Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (21 Julai-4 Ogos); Kejohanan Dunia BWF di Copenhagen, Denmark (25-31 Ogos) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan (28 Sept-5 Okt).

“Tahun ini lebih banyak kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia (World Championship), Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Saya tidak boleh tumpu kepada semua kejohanan.

“Untuk menang All-England, saya tidak berapa fokus (untuk mencari kemenangan). Tapi saya akan cuba yang terbaik dan cuba menang. Buat masa ini saya lebih tumpukan kepada prestasi dan kecergasan,” katanya kepada pemberita  selepas sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Untuk rekod, Chong Wei merangkul kejuaraan All-England pada 2010 dan 2011.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Chong Wei yang turun selaku pemain pilihan utama dijangka mara ke peringkat akhir dan berdepan seorang lagi musuh tradisi dari China, Chen Long.

Laluan Chong Wei dilihat mudah apabila berdepan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand pada perlawanan pusingan pertama sebelum dijangka menentang rakan sepasukan, Chong Wei Feng atau Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua.

Seterusnya, Chong Wei dijangka berdepan pencabarnya Du Pengyu dari China yang turun selaku pemain pilihan ketujuh dalam saingan suku akhir.

Pada peringkat separuh akhir pula, Chong Wei mungkin berdepan pemain pilihan keempat Jan O Jorgensen dari Denmark atau pemain pilihan kelima dari Jepun, Kenichi Tago. – BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan