Lemas: PAS Salahkan Aktiviti Korek Pasirb
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan menghentikan semua projek mengorek pasir berhampiran kawasan penduduk untuk mengelak insiden lapan remaja lemas di Sungai Muar berhampiran Pekan Buloh Kasap, Segamat, Johor semalam berulang.
Ketua DPPM, Suhaizan Kaiat berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana jaminan keselamatan di lokasi mengorek pasir ke atas orang ramai terutama golongan kanak-kanak di negara ini masih tidak memuaskan.
“Peristiwa di Sungai Muar ini membuktikan kawasan pengorekan pasir berdekatan kawasan penduduk sangat tidak sesuai.
“DPPM mendesak kerajaan menghentikan semua projek pengorekan pasir dalam radius 5 kilometer dari penempatan penduduk sehingga satu siasatan berkenaan keselamatan penduduk dibuat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Suhaizan berkata, beliau pernah membawa isu itu kepada Majlis Daerah Kluang dua tahun lalu berikutan kematian seorang kanak-kanak di Sungai Sayong, Layang-layang Johor.
Beliau mendakwa pernah mendesak agar langkah keselamatan perlu dilaksanakan bagi memastikan kawasan projek mengorek pasir tidak menjejaskan keselamatan kanak-kanak.
“Sungai Sayong mengorbankan tiga nyawa kanak-kanak. Hari ini Sungai Muar mengorbankan lagi nyawa. Kita sangat kuatir pada masa akan datang kawasan pengorekan pasir akan mengorbankan lebih banyak nyawa lagi,” katanya.
Beliau dalam pada itu membidas aktiviti mengorek pasir yang menjejaskan emosi kanak-kanak kerana kawasan permainan harian mereka dikacau ganggu oleh projek yang menguntungkan pihak-pihak tertentu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan