Julia Rasa Diperdaya Produksi ‘Aku Akan Muncul’
PETALING JAYA – Pelakon Julia Ziegler membuka mulut dengan menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap hasil filem lakonannya, Aku Akan Muncul, terbitan RM Vision Film Production Sdn Bhd.
Julia berkata, dia berasa diperdaya kerana sebelum menerima tawaran lakonan tersebut, dia dijanjikan pelbagai perkara namun ia sekadar sebuah janji kosong.
“Saya menerima berlakon filem itu selepas meneliti skrip yang dihasilkan oleh Qash Aris yang dianggap bagus dan menarik.
“Tetapi tak sangka pula hasilnya tidak seperti yang dijangkakan termasuklah mereka tidak mengikut perjanjian menggunakan skrip asal, sebalik menggunakan skrip yang telah diubah.
“Lain yang diharapkan lain pula yang terjadi,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Julia, hasil pembikinan filem tersebut yang kurang memberangsangkan ia turut menjejaskan reputasinya sebagai seorang pelakon.
Selain Julia, filem Aku Akan Muncul arahan Roy Krishna dibarisi pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Abdullah, Emma Akma dan Musly Ramli.
Barisan pelakon- pelakon baharu pula terdiri daripada Abam (Bochey), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.
Filem seram itu mengisahkan mengenai Kesuma, lakonan Julia yang ingin menjadi wanita paling cantik di kampungnya.
Kerana begitu taksub untuk cantik, dia sanggup menggunakan ilmu hitam dengan membunuh beberapa penduduk kampung sebagai memenuhi syarat ilmu hitam tersebut.
Sementara itu, Julia berkata, melihatkan profil lakonannya, dia mengakui agak sukar untuk dirinya mendapat watak-watak yang bagus dan kebanyakan watak yang diterima sekadar ingin membina namanya sebagai seorang pelakon.
“Entah kenapa memang saya susah nak dapat watak filem yang bagus. Tidak dinafikan, ada beberapa watak yang diberikan sebelum ini memang bagus tetapi tak banyak.
“Biasanya saya mesti diberi watak hantu atau wanita jahat. Entahlah, saya hanya menganggap ia sebahagian daripada rezeki saya,” tuturnya.
Sementara itu, penerbitnya, R.Mohanadas, yang dihubungi mStar Online berkata, Julia tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian memandangkan dia merupakan antara bintang terlibat dalam penghasilan filem ini.
Mohanadas berkata, sebelum ia dipertontonkan kepada pihak media Rabu lalu di e@Curve, di sini, pihaknya telah membuat tontonan sebanyak lima kali di mana ia telah ditonton oleh golongan yang meminati filem Melayu seram.
“Saya rasa, hasil pembikinan filem ini dikira bagus, tambah pula kami telah membuat pra tonton sebanyak lima kali untuk memperbaiki mutu filem itu sendiri.
“Jadi saya tak tahu mengapa Julia berkata filem ini tidak bagus. Lebih-lebih lagi suntingan CGI (teknik pengimejan berkomputer) dibuat di India. Bagaimanapun saya anggap ia sekadar pandangan peribadinya sahaja,” ujarnya.
Filem Aku Akan Muncul bakal ditayangkan bermula 27 Februari ini. – mStar Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan