Maya Karin Teruja Bermuay Thai Dengan Bront Di Phuket


“Memang puas hati dapat bermuay thai dengan Bront, lagi pun ini pertama kali Maya bawak watak ‘tomboy’ dalam filem.

“Sebelum ini Maya sering diberikan watak yang lebih kurang sama…kali ini dalam ‘Sejoli’ memang saya teruja sangat-sangat,” kata Maya Karin mengenai lakonannya menerusi filem Sejoli terbitan Grand Brilliance, baru-baru ini.

Lebih menarik lagi tambahnya, apabila terpaksa belajar seni mempertahankan diri ‘Muay Thai’ semasa penggambaran dijalankan di Phuket, Thailand.

“Maya tak pandai langsung ‘Muay Thai’…Tapi Bront dan kareographer di Thailand banyak membantu…Agak penat, tapi menyeronokkan,” ujarnya.

Maya ketika ditemui selepas majlis pra-tonton filem tersebut juga berkata, ini kali pertama dia dan Bront bercinta selepas gandingan mereka dalam beberapa buah filem sebelum ini.

“Akhirnya, saya dan Bront digandingkan sebagai pasangan…Biarpun bukan kali pertama bekerjasama dalam sesebuah lakonan, namun menerusi filem terbaru Sejoli inilah pertama kali kami bercinta,” katanya.

Pada masa sama, Maya turut akui lakonannya bersama Bront kali ini tidak memiliki sebarang masalah kerana mereka pernah digandingkan sebelum ini.

“Saya seronok dapat berlakon bersamanya tambahan pula kami memang berkawan di luar set.

“Jadi untuk dapatkan keserasian dalam hidupkan watak memang tidak ada masalah,” ujarnya yang pernah membintangi filem Halal di samping aktor itu.

Selain teruja digandingkan bersama Bront, Maya juga gembira bertemu Remy Ishak dan bekerjasama dengan pelakon baru yang tidak kurang hebatnya seperti Izara Aishah, Azad Jazmin dan Dira Abu Zahar.

Menurutnya lagi, selain barisan pelakon yang mantap, dia percaya filem tersebut ada sesuatu mesej yang hendak disampaikan dan tertarik dengan keseluruhan jalan ceritanya.

“Barisan pelakonnya juga hebat, jadi agak mustahil untuk saya tolak tawaran ini.

“Tambahan pula inilah peluang saya untuk beri kelainan dalam lakonan,” jelasnya.

Filem Sejoli yang sudah mula ditayangkan sejak 20 Februari lalu, bertemakan komedi romantis yang ditulis oleh Osman Ali, mengisahkan tentang Gina lakonan Maya dan Joe (Bront), mencari ketenangan di Phuket selepas mereka kecewa dengan pasangan masing-masing.

Mereka tidak mengenali satu sama lain tetapi menjadi kawan baik selepas meluahkan masalah cinta yang mereka lalui sebelum ini.

Gina dan Joe berpakat untuk mengenakan bekas kekasih mereka, Nita (Izara Aishah) dan Hardy (Remy Ishak) yang sedang bercinta dan merancang untuk mendapatkan balik bekas pasangan masing-masing.

Pelbagai taktik kotor dilakukan dengna bantuan sahabat mereka Lola (Dira Abu Zahar) dan Tompy (Azad Jazmin). Berjayakah misi empat sahabat ini? Saksikan Sejoli di pawagam berdekatan anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan