Bekas majikan dakwa nirmala bonat kerap berbohong


KUALA LUMPUR 24 Feb. - Pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat kerap berbohong kononnya dia sudah menyiapkan kerjanya sedangkan keadaan adalah sebaliknya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas majikan Nirmala iaitu Hii Il Tiing, 48, berkata isterinya, Yim Pek Ha, 46, sering mengadu kepada beliau bahawa pembantu rumah itu selalu berbohong.

"Isteri saya kata dia (Nirmala) suka berbohong kononnya dia sudah menyiapkan kerjanya sedangkan (sebenarnya) dia tidak berbuat demikian," kata Hii pada pendengaran kes saman terhadap beliau dan isterinya yang didakwa mendera serta mencederakan pembantu rumah itu dengan seterika panas serta air mendidih.

Hii berkata, Nirmala cemerkap ketika melakukan kerja rumah dan kerap merosakkan baju ketika menggosok pakaian namun wanita itu tidak pernah mengadu kepada beliau bahawa Yim telah mencederakannya.

Saksi itu juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak percaya kecederaan yang dialami pembantu rumah berkenaan dilakukan isterinya.

Nirmala memfailkan saman pada 28 Januari 2010 yang mendakwa pasangan itu mendera dan menyebabkan kecederaan parah terhadapnya menggunakan seterika panas serta air mendidih. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan