Maya Pernah Cinta Pada Lelaki Sudah Berpunya


PETALING JAYA – Penyanyi Maya Karin mendedahkan pernah jatuh hati dengan seorang lelaki yang sudah berpunya.

Bagaimanapun, Maya atau nama sebenar Maya Karin Roelcke, 34, berkata, perasaan tersebut terpaksa dilupakan dan diabadikan di dalam sebuah lagu bertajuk Hanya Sebentar yang dicipta oleh Omar K.

“Lagu Hanya Sebentar dalam album terbaharu saya ini sangat istimewa kerana ia merupakan cerita sebenar tentang perasaan saya terhadap seorang lelaki.

“Perasaan jatuh hati kepada seorang yang sudah menjadi milik orang lain dan saya terpaksa mengambil tindakan menjauhkan diri kerana prinsip saya tidak akan menganggu hubungan tersebut,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pradengar album Teka Teki bersama peminat yang berlangsung di Talent Lounge, di sini, Sabtu.

Tambah Maya, pada asalnya dia sekadar bercerita kisah yang berlaku beberapa tahun lalu kepada komposer tersebut.

Namun, dia tidak menjangka apabila kisah tersebut dijadikan sebuah lagu untuk dimuatkan dalam album ketiganya ini.

Sementara itu, bercerita tentang album tersebut, Maya berkata, dia mengambil masa hampir 11 tahun untuk kembali menyanyi semula.

“Saya sudah lama ingin buat album dan lima tahun lalu saya ada merakam lima buah lagu, namun tiada rezeki untuk diterbitkan.

“Selepas mendapat tawaran daripada Warner Music barulah impian ini tercapai.

“Bagaimanapun, lima lagu yang telah dirakam lalu tidak dimasukkan dalam album ini kerana berlainan genre,” katanya.

Tambah Maya, album Teka Teki akan berada di pasaran pada Mac depan. – mStar Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan