PUTRAJAYA – Kanak- kanak di bawah usia lima tahun perlu didedahkan dengan pendidikan awal yang berkualiti di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang mempunyai pengasuh terlatih, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata bagaimanapun akibat kekurangan Taska, ibu bapa tidak mempunyai pilihan selain menghantar anak-anak ke rumah pengasuh.
“Kajian menunjukkan masa depan kanak-kanak amat bergantung kepada peluang pendidikan awal yang diterima sebelum berumur empat tahun. Tetapi mereka terpaksa ke rumah pengasuh sedangkan kebanyakan pengasuh tidak mempunyai latihan asas dalam bidang asuhan kanak-kanak,” katanya.
Penubuhan Taska di tempat kerja terutamanya di agensi-agensi kerajaan juga akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan kanak-kanak, katanya semasa merasmikan mesyuarat agung perwakilan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) ke-32 di sini, Khamis.
“Ibu bapa secara tidak langsung dapat memberi tumpuan terbaik semasa bekerja tanpa memikirkan tentang penjagaan anak-anak, sekali gus berjaya meningkatkan produktiviti kerja masing-masing,” katanya.
Rosmah yang juga penaung Puspanita Kebangsaan berkata laporan media mengenai kes-kes kecemasan di Taska terutamanya bayi meninggal akibat tersedak susu seharusnya membuka mata banyak pihak untuk menubuhkan Taska di tempat kerja supaya ibu bapa lebih mudah memantau anak-anak.
Memetik laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau berkata hanya 90 taska tempat kerja yang disediakan agensi kerajaan berbanding lebih 400 agensi kerajaan di seluruh negara.
Rosmah tutut menggesa anggota Puspanita supaya membantu kerajaan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa antaranya kenaikan harga barangan dan isu subsidi.
“Bagi memastikan penjelasan itu berkualiti, ia perlu disampaikan oleh mereka yang berpengatahuan luas dalam aspek itu. Jadi Puspanita perlu mewujudkan pasukan khas bagi tujuan itu,” katanya.
Selain itu anggota Puspanita disaran menganjurkan kursus dan latihan dalam bidang keusahawanan untuk membantu isteri penjawat awam yang tidak bekerja serta pesara wanita supaya dapat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, kata Rosmah.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga penasihat Puspanita dan Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Rohani Abdullah. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan