PETALING JAYA – Next Bike Sdn Bhd, pengimport dan pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia, akan melabur RM5 juta untuk membuka lima pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) tahun ini.
Syarikat di bawah kumpulan Naza itu akan menaik taraf tiga wakil jualannya di Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur, dengan kerja-kerja pengubahsuaian kini siap 80 peratus, serta membuka pusat 3S baharu di Kelantan dan Sabah.
Naib Presiden Bahagian Dua Roda Kumpulan Naza Motor Nik Danial Nik Mahmood berkata usaha itu adalah pemangkin untuk membawa jenama Ducati lebih dekat dengan pelanggan.
“Ketika ini, kami mempunyai tiga pusat 3S yang terletak di Petaling Jaya dan Sungai Buloh di Selangor, dan Pulau Pinang. Menjelang akhir tahun ini, apabila kerja-kerja pengubahsuaian selesai dan pusat-pusat baharu dibuka, kami akan mempunyai sejumlah lapan pusat 3S,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran tambahan terbaharu kepada superbike Monster siri – 796 Corse Stripe di sini hari ini.
“Model Monster bersaiz sederhana ini akan menjadi minat baharu dalam kalangan penunggang motosikal Malaysia dan kami menganggarkan model ini akan menyumbang 35 peratus daripada jualan Ducati pada tahun ini,” kata Nik Danial.
Monster 796 Corse Stripe akan menjadi penyumbang jualan terbesar daripada lebih daripada 1,000 jumlah jualan motosikal yang dianggarkan pada tahun ini, kata Nik Danial.
Akan berada di pasaran tempatan sebagai motor unit terurai untuk dipasang dari Thailand, model Monster 796 Corse Stripe menawarkan nilai yang tinggi, pada harga RM63,888.
Next Bike Sdn Bhd menjadi pengimport dan pengedar tunggal jenama Ducati di Malaysia sejak November 2000 dan mempunyai produk komprehensif untuk pasaran Malaysia, daripada superbike, motosikal dwifungsi, motosikal untuk lawatan, ‘street bikes’ dan motosikal klasik dengan model seperti Ducati Monster, Hypermotard, Streetfighter, Multistrada, Diavel dan 1199 Panigale. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan