KUALA TERENGGANU – Pelumba negara Anuar Manan, yang kembali beraksi bersama pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), berazam merebut gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau) dalam saingan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang membuka tirainya 27 Feb ini.
Jaguh pecut negara itu mempuyai strategi tersendiri dalam usaha mengulangi pencapaian bergelar Raja Pecut sewaktu menyertai LTdL pada 2010.
Anuar, 28, berkata beliau lebih bersemangat untuk beraksi bersama lima lagi rakan seperjuangan yang membawa misi Terengganu untuk berada pada kedudukan terbaik sepanjang kojohanan itu.
Beliau yakin gandingan mantap dari rakan sepasukan – Mohamed Harrif Salleh, Mohamed Zamri, Adiq Hussainie Othman, Shahrul Mat Amin dan Saufi Mat Senan – mampu membantu untuk merialisasilkan impian itu.
“Tahun ini, saya rasa lebih bersemangat dan komited setelah dapat kembali berkhidmat untuk pasukan TSG…saya yakin pasukan TSG mampu bersaing
bersama pelumba antarabangsa.
“Walaupun bersaing dengan pelumba lebih ternama dan berpengalaman, saya mempunyai pasukan yang bagus dan saya akan gunakan peluang ini untuk mencipta
kejayaan dengan bantuan Harrif yang akan bertindak sebagai sprinter,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Anak kelahiran Kuala Ibai itu juga mahu memenangi satu daripada 10 peringkat perlumbaan.
Selain Anuar, Adiq Husainie Othman yang pertama kali menyarung jersi TSG juga bakal dijadikan sandaran terutamanya dalam zon pendakian.
LTdL 2014 bermula dari 27 Feb hingga 8 Mac yang meliputi laluan sejauh 1,506.5 km merangkumi 10 peringkat.
Kejohanan berprestij itu akan bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan