Menyamar polis dan samun

IPOH - Seorang pekerja kontrak warga Indonesia dan rakannya diugut dan diserang dua lelaki tempatan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Dato Onn Jaafar di sini, semalam.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang bekerja di Taiping itu singgah di bandar raya Ipoh untuk membeli barang sebelum pulang ke Indonesia malam ini (semalam).

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa dan  rakannya berada di hadapan restoran makanan segera sebelum disapa dua lelaki yang mengaku anggota polis.

Menurutnya, kedua-dua suspek meminta mangsa menunjukkan permit dan wang serta mengugut akan membawa mereka ke balai polis jika tidak menurut arahan.

“Malah suspek turut bertindak agresif dengan menyerang mangsa, manakala rakan mangsa turut ditampar.

“Pada masa sama, rakan suspek turut mengambil kesempatan merampas RM40 daripada rakan mangsa sebelum kedua-dua suspek beredar dari tempat kejadian.

“Berikutan itu, pasukan peronda polis (MPV) segera ke tempat kejadian dan menahan suspek seorang lelaki berusia 23 tahun dari Kampung Kepayang di sini melalui pengecaman yang dibuat mangsa namun seorang lagi suspek melarikan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menjawat sebagai penjawat awam dan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Anuar berkata, siasatan akan diteruskan bagi menjejaki seorang lagi rakan suspek yang dipercayai masih bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan