Pelakon dan pengacara Awal Ashaari mendedahkan hubungannya dengan beberapa rakan artis menjadi renggang sejak dia dipertanggunggjawab menjadi hos program hiburan popular lagi 'panas', Melodi. Tidak cukup dengan itu dia juga sering menjadi mangsa cemuhan ramai yang melemparkan kritikan menerusi laman sosial Facebook dan Instagram.
Namun sebagai hos, Awal berkata dia hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberi dalam menyampaikan maklumat mengikut skrip yang telah diberi oleh pihak produksi.
"Saya perasan sejak saya jadi hos 'Melodi', hubungan saya dengan beberapa artis agak renggang. Misalnya sebelum ini kalau bertemu, kami elok saja bersalaman. Tapi sekarang ni ada beberapa artis yang tak mahu bersalaman lagi dengan saya.
"Ada juga artis yang kalau 'cerita panas' mereka keluar di Melodi, mereka akan hubungi pengurus saya, seolah-olah saya sengaja mengaibkan mereka. Padahal saya dan Zizan hanya menyampaikan maklumat itu berdasarkan skrip yang diberi oleh produksi. Saya juga sedih bila menjadi mangsa cemuhan ramai di Facebook dan Instagram", katanya yang sudah masuk tahun ketiga mengacarakan program hiburan mingguan nombor satu stesen TV3 itu.
Begitupun baru-baru ini timbul desas-desus mengatakan tempat Awal bakal digantikan dengan seorang selebriti sebagai hos baru program itu. Kononnya Awal akan disingkirkan dari 'Melodi' kerana mempunyai masalah disiplin.
Mengulas mengenai gosip tersebut, Awal berkata dia juga ada mendengar ura-ura tersebut. Bagaimanapun dia telah bertanyakan kepada pihak produksi program berkenaan dan pihak produksi menafikannya.
"Saya ada juga terdengar hal itu dan saya ada bertanya kepada pihak produksi. Sebab kalau lah benar seperti yang dikhabarkan, saya sebagai hos berhak untuk tahu kedudukan saya. Tapi pihak produksi menafikan hal tersebut. Malahan saya baru sahaja mennyambung kontrak selama setahun lagi dengan program tersebut. Jadi saya rasa khabar tersebut tidak benar.
"Tentang isu disiplin pula, saya tidak tahu-menahu akan perkara itu. Saya rasa saya tidak mempunyai apa-apa masalah. Sebab setiap minggu saya menepati jadual yang ditetapkan.
Saya perlu ada di set seawal jam 11 pagi dan selesai tugas sehingga jam 2 petang", tuturnya.
Dalam pada itu Awal juga berkata, dia sedia maklum bahwa tidak selamanya dia akan kekal sebagai pengacara prorgam itu. Pun begitu dia bersyukur kerana diberi peluang mengendalikan 'Melodi' iaitu sebuah rancangan pilihan ramai.
Malah beritahu suami kepada pelakon juga pengacara Scha Al-Yahya ini, menjadi hos Melodi adalah salah satu cita-citanya ketika di awal pembabitannya dalam dunia pengacaraan. - MalaysianDigest
Tiada ulasan:
Catat Ulasan